Thursday, July 29, 2010

Semasa Saya Kecil

Saya dilahirkan pada 19 Januari 1999. Saya kini berusia 11 tahun. Semasa saya kecil, saudara-mara dan keluarga saya memberitahu saya bahawa saya amat comel. Dahulu, permainan kegemaran saya ialah memasak. Saya akan selalu ke rumah saudara saya untuk bermain masak-masak. Kami akan menggunakan mainan untuk memasak. Saya tidak tahu kenapa saya gemar bermain permainan itu. Mungkin ia amat seronok.

Saya suka menonton rancangan 'Barney' dan 'Teletubbies'. Saya juga mengumpulkan permainan komputer. Banyak kenangan yang saya ada semasa saya kecil. saya tidak akan melupakannya sampai bila-bila.

Haiwan Kegemaran Saya

Haiwan kegemaran saya ialah kucing, terutama sekali yang comel. Saya amat suka kucing yang mempunyai bulu yang lembut dan halus. Walaupun saya suka kucing, saya takut dengannya kerana giginya yang tajam. Saya tidak mahu dicakar dan digigit oleh kucing. Itulah sebabnya saya masih takut dengan kucing dari kecil hingga sekarang.

Saya tidak mempunyai haiwan peliharaan. Saya mahu memelihara seekor kucing supaya saya boleh mengatasi perasaan takut saya. Jikalau saya memelihara seekor kucing, saya akan menjaganya dengan baik dan memberinya makan dengan secukupnya. Saya tidak akan mengabaikannya. Saya sayang kucing !

Tuesday, July 27, 2010

Hari Kebangsaan 2010


Pada hari Sabtu yang lalu, saya telah pergi ke Padang untuk menonton previu Hari Kebangsaan bersama murid-murid darjah lima sekolah saya. Singapura berusia 45 tahun. Padang itu sangat besar dan luas. Seramai 25 000 orang boleh duduk di sana.

Saya telah lama menantikan peluang untuk menonton previu Hari Kebangsaan. Setiap tahun, saya cuma menontonnya di televisyen bersama keluarga saya. Pada tahun ini, pengacara-pengacara untuk acara itu ialah Gurmit Singh, Michelle Chia dan Suhaimi Yusof.

Mereka sungguh lucu. Saya dan kawan-kawan saya asyik memekik apabila melihat artis-artis kegemaran kami. Artis-artis yang membuat persembahan ialah Sarah Aqilah, Sezairi Sezali, Taufik Batisah, Sylvia Ratonel dan lain-lain lagi. Kami dapat melihat kapal terbang dan helikopter lalu. Kami juga dapat sebuah beg yang penuh dengan makanan, minuman, bendera dan lain-lain.

Adegan yang paling saya suka ialah melihat bunga api. Bunga api tahun ini lebih bagus dan berwarna-warni.

Sukan Belia 2010


Saya tidak sabar untuk menonton Sukan Belia di televisyen. Apabila saya bercakap tentang ini, saya berasa amat bangga kerana Singapura menjadi tuan rumah untuk Sukan Belia 2010. Ini adalah kali pertama Singapura mendapat peluang sebegini.

Sukan Belia akan diadakan pada 14 hingga 26 Ogos 2010. Maskot Sukan Belia 2010 ialah 'Lyo' dan 'Merly'. 'Lyo' suka bermain bola keranjang manakala 'Merly' gemar berenang. 'Lyo' berwarna jingga yang melambangkan bola keranjang dan 'Merly' berwarna biru yang melambangkan air.

Saya harap Singapura akan mendapat peluang untuk menjadi tuan rumah bagi acara-acara seperti ini lagi.

Kegiatan Ko-kurikulum Saya


Kegiatan ko-kurikulum saya ialah pancaragam. Saya telah menjadi ahli pancaragam sejak saya berada di darjah tiga iaitu dua tahun yang lalu. Saya bermain sebuah alat muzik yang dipanggil euphonium atau eufonium. Saya rasa saya telah membuat keputusan yang baik.


Saya amat meminati bidang muzik. Saya suka mendengar muzik, menyanyi dan bermain muzik. Selama dua tahun di dalam pancaragam, saya telah mengalami pelbagai pengalaman manis dan pahit. Pada mulanya, saya berasa gementar apabila memegang instrumen yang besar tetapi lama-kelamaan, rasa gementar itu hilang.


Pada bulan April yang lalu, pancaragam sekolah saya telah memasuki pertandingan 'Singapore Youth Festival'. Saya bekerja keras untuk mendapat pingat emas. Malangnya, kami mendapat pingat perak. Saya rasa saya tidak patut berasa sedih kerana perkara yang paling penting ialah saya telah melakukan yang terbaik. Saya cuma berasa kecewa dan hampa kerana impian saya tidak menjadi kenyataan.


Saya harap saya akan terus berada di dalam bidang muzik. Muzik telah menjadi sebahagian dari hidup saya.

Sekolah Saya


Nama saya ialah Nursyazwani Fitri. Saya bersekolah di Sekolah Rendah Zhenghua. Kelas saya ialah '5Honesty'. Saya adalah seorang pelajar darjah lima.

Saya akan berkongsi dengan anda tentang pengalaman saya di sekolah saya. Saya sudah berada di sekolah itu selama lima tahun. Banyak pengalaman manis dan pahit yang saya sudah lalui.

Saya amat bangga dengan sekolah saya kerana kejayaan-kejayaannya. Guru-guru di sekolah saya sungguh peramah, tegas dan berdisiplin. Saya suka dengan guru yang mempunyai sifat-sifat seperti itu kerana ia mengajar saya cara-cara berdikari.

Sekolah saya juga telah memenangi pingat emas dan perak untuk beberapa pertandingan. Saya amat sayang sekolah saya dan tidak akan melupakannya kerana saya telah mempelajari banyak perkara yang boleh membantu saya dalam hidup saya.

Tuesday, July 20, 2010

Wayang Gambar


Pada bulan Mac yang lalu, saya telah menonton wayang bersama kawan baik saya. Kami menonton 'Alice In Wonderland' di 'Lot 1'. Kami amat gembira kerana telah mendapat peluang untuk menonton wayang bersama-sama.



Cerita itu mengisahkan tentang seorang budak perempuan yang sering bermimpi. Pada suatu hari, mimpinya menjadi kenyataan. Dia terjatuh ke dalam sebuah lubang yang besar. Tiba-tiba, dia berada di alam lain. Dia bertemu dengan haiwan-haiwan yang comel. Haiwan-haiwan itu ada yang baik manakala ada juga yang jahat. Sesetengah daripada mereka menolong budak perempuan itu apabila dia dalam kesusahan. Dia bertemu dengan seorang puteri yang baik. Puteri itu juga dalam kesusahan. Akhirnya, budak perempuan itu menolong puteri itu melawan seekor naga.


Ada adegan yang lucu juga. Saya dan kawan baik saya amat menikmati cerita itu.