Tuesday, June 29, 2010

Rakan Baik Saya

Saya mempunyai dua rakan baik. Mereka adalah Syahiratul Tsaqifah dan Bazlaa. Kami berkenalan sejak darjah tiga. Kami bertiga di kelas yang sama. Sejak hari yang kami mula berjumpa dan berkenalan, kami menjadi kawan baik.

Bazlaa adalah seorang kawan yang lucu. Dia sering membuat saya ketawa. Syahiratul pula ialah seorang kawan yang memahami saya. Apabila saya mempunyai masalah, saya akan berkongsi masalah saya dengan mereka. Mereka akan sentiasa memberi nasihat dan bantuan kepada saya. Saya rasa selesa bersama mereka. Kami selalu meluangkan masa bersama-sama. Jikalau kawan-kawan saya yang lain ternampak kami, mereka selalu memberitahu kami bahawa kami sungguh rapat. Saya tersenyum mendengar kata-kata itu tetapi itu hanya buat sementara sahaja.

Apabila kami di darjah lima, kami tidak rapat seperti dahulu. Saya dan Bazlaa tetap di kelas yang sama tetapi Syahiratul tidak lagi. Dia berada di kelas yang lain. Saya berasa sungguh sedih kerana saya tidak dapat berjumpa dengan Syahiratul seperti dahulu. Kami tidak rapat lagi. Syahiratul mempunyai ramai kawan di kelasnya. Kami masih lagi berjumpa tetapi hanya pada waktu rehat.

Beberapa bulan kemudian, saya bergaduh dengan Syahiratul. Saya hampir kehilangan seorang daripada kawan baik saya. Kami tidak bercakap untuk beberapa hari. Dia tidak mahu berkawan dengan saya lagi. Saya berasa sungguh sedih dan serba salah. Saya memikirkan apa yang telah menyebabkan kami bergaduh. Setelah lama berfikir, saya rasa mungkin saya adalah penyebabnya. Saya pun meminta maaf daripada Syahiratul. Dia memaafkan saya dan kami menjadi kawan semula. Saya berasa lega dan gembira.

Kejadian itu mengajar saya bahawa setiap persahabatan tidak semestinya sempurna. Dalam persahabatan kadangkala ada pergaduhan yang tidak dijangkakan. Sejak hari itu, saya memahami bahawa Syahiratul juga ada kawan-kawan yang lain dan tidak harus melayan saya sahaja. Saya gembira kerana kami masih berkawan sehingga hari
ini.

No comments: